Rabu, 9 November 2016

GALERI ARKEOLOGI USM BERJAYA TARIK LEBIH 5,000 PENGUNJUNG SETAHUN

Pengunjung ke Galeri Arkeologi USM, Minden, Georgetown, berpeluang melihat pelbagai koleksi penyelidikan termasuk replika Orang Perak atau Perak Man merupakan rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia

Georgetown:  Jumlah pelawat termasuk pelancong asing yang mengunjungi Galeri Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, di sini, yang menempatkan lebih 500 artifak sejarah terus meningkat dan sehingga kini berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung setahun.

Pengunjung berpeluang melihat pelbagai koleksi penyelidikan yang dilaksanakan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) sejak 27 tahun lalu termasuk replika Orang Perak atau Perak Man merupakan rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia. 






IKLAN - ISILA Terbaik Buat Lutut Ibu Anda





Tulang rangka Perak Man telah dijumpai pada 1991 di dalam Gua Gunung Runtuh terletak di Bukit Kepala Gajah, di Lembah Lenggong, Hulu Perak pada ketinggian lebih kurang 105 meter dari paras laut.

Penemuan ini adalah hasil dari penyelidikan diketuai oleh Datuk Prof Zuraini Majid, dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia dan antara penemuan terpenting adalah rangka tulang Perak Man yang berumur antara 10,000-11,000 tahun.


Pengunjung ke Galeri Arkeologi USM berpeluang melihat pelbagai koleksi penyelidikan yang ditemui di negara ini

Pegawai Penyelidik PPAG, Norhidayahti Mohd Muztaza, berkata pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya pelajar boleh mengunjungi galeri itu yang dibuka secara percuma selama lima hari seminggu dari Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

"Pembukaan galeri ini dapat memberikan pendedahan awal kepada pengunjung dalam bidang carigali khususnya kerja lapangan supaya mereka mempunyai pengetahuan asas tentang perkembangan, kebudayaan dan tamadun awal manusia pra-sejarah," katanya ketika ditemui, di sini.


Pengunjung ke Galeri Arkeologi USM berpeluang melihat pelbagai koleksi penyelidikan yang ditemui di negara ini

Pengunjung berpeluang mengetahui dengan lebih mendalam cara-cara kerja ekskavasi atau carigali dalam kegiatan penggalian yang dilakukan untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu benda tinggalan zaman purbakala membabitkan kerja lapangan dan kerja makmal. 

Aktiviti itu akan mendedahkan kepada pengunjung secara asas kerja-kerja lapangan yang dilakukan oleh ahli arkeologi di tapak kajian serta analisis terhadap artifak yang ditemui melalui ekskavasi.


Sebahagian daripada koleksi artifak yang dipamerkan di Galeri Arkeologi USM

Norhidayahti berkata, melangkah masuk ke galeri itu, pelawat akan didedahkan kepada tujuh bahagian termasuk penyelidikan PPAG kepada arkeologi dunia, manakala bahagian pra sejarah Malaysia memaparkan dari segi taburan tapak arkeologi dan urutan budaya negara.

Katanya, zaman Paleolitik dikenali sebagai zaman Batu Lama yang dicirikan berdasarkan artifak berusia lebih 10,000 tahun turut dipamerkan. Galeri itu turut memaparkan zaman Neolitik mengenai penemuan tembikar berusia sekitar 4,000 tahun yang secara tidak langsung menunjukkan tahap kemajuan teknologi dalam masyarakat pra sejarah.


Pegawai Penyelidik PPAG, Norhidayahti Mohd Muztaza

"Zaman logam yang dipamerkan bermula sekitar 3,000 tahun apabila masyarakat pra sejarah berjaya memanipulasi penggunaan api dan suhu serta bahan mentah untuk menghasilkan logam,

"Kita juga memaparkan tamadun awal yang berjaya menemui tapak ritual, industri peleburan besi kuno, kawasan pentadbiran dn beberapa jeti di kawasan Sungai Batu di Sungai Petani, Kedah," katanya.

Beliau berkata, masyarakat orang Asli di Malaysia turut dipamerkan membabitkan pelbagai barangan yang digunakan secara meluas dan pihaknya akan memberikan penerangan berkaitan artifak yang terdapat di dalam galeri termasuk aktiviti praktikal dan mengenali alat-alat ekskavasi yang digunakan.

Katanya, pengunjung khususnya pelajar juga diberi peluang untuk melakukan carigali di petak yang telah disediakan dengan menggunakan berus dan scrapper.

"Kita juga akan memperluaskan program Sahabat Arkeologi di kalangan sekolah yang dipilih bagi menanam minat pelajar dalam bidang berkaitan.






IKLAN - ISILA Berkesan Merawat Sakit Lutut





Suka dengan artikel ini? LIKE dan SHARE untuk manfaat bersama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan