Pantai Kerachut : Pantai Kerachut yang terletak dalam Taman Negara Pulau Pinang menggamit kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan alam semula jadinya, termasuk hutan tropika yang dimilikinya.
Keindahan alam semula jadinya dengan hamparan pantai memutih apatah lagi belum tercemar amat bersesuaian khususnya kepada pengunjung yang mahu menghilangkan kepenatan selepas bertungkus lumus bekerja.
IKLAN - ISILA Terbaik Buat Lutut Ibu Anda |
Sebaik menjejakkan kaki ke lokasi itu, pengunjung boleh menggunakan kemudahan yang selesa seperti tandas, pondok wakaf serta tapak perkemahan dan bagi mereka yang ingin bermalam mereka dikehendaki berada jauh dari pantai bagi mengelakkan ganguan kepada penyu agar yang bertelur.
Pengunjung juga berpeluang melihat proses penetasan anak penyu yang dikendalikan oleh Jabatan Perikanan negeri selain kawalan keselamatan diawasi renjer Taman Negara Pulau Pinang.
Tarikan lain termasuk laluan `Canopy Walk' yang pertama di negeri ini bernilai RM1 juta sejauh 200 meter yang konsepnya hampir sama seperti yang terdapat di Taman Negara Pahang.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan keunikan sebuah Tasik Meromiktik seluas 2.7 kilometer yang mengandungi dua lapisan air iaitu air sungai tawar di bahagian atas manakala air laut masin di lapisan bawah.
Tasik itu akan kering semula apabila perubahan musim Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut sekitar Oktober, setiap tahun. Kesempatan itu digunakan pelancong untuk mandi manda kerana dipercayai air tasik itu mengandungi khasiat yang tersendiri.
Keadaan muka bumi mempunyai ekosistem berlainan seperti tanah lemban, hutan pamah, bukit dipterokap, hutan paya bakau, beting berlumpur, pantai berpasir, batu karang dan batu granit laut.
Taman Negara Pulau Pinang boleh dikunjungi menerusi dua pintu masuk iaitu melalui pekan Teluk Bahang, manakala satu lagi melalui Kuala Sungai Pinang yang terletak di daerah Balik Pulau melalui bot.
Perasmian taman negara yang disempurnakan Yang dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas 5 Januari 2008, jumlah pengunjung ke taman itu terus meningkat dan setiap pengunjung yang berhasrat memasuki taman itu perlu mendaftar dan mendapat kebenaran terlebih dahulu sama ada kunjungan harian atau bermalam.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan pelbagai jenis hidupan seperti penyu agar, ular kapak tokong, punai gading, kura-kura Bertam dan helang siput, manakala spesis fauna pula ia meliputi ikan belacak, katak sungai bertompok kuning, lotong cengkong dan memerang kecil.
Pantai Kerachut turut menjadi lubuk kepada `kaki pancing' yang sanggup berada di kawasan itu dengan harapan mendapatkan hasil lumayan termasuk mendaratkan ikan seperti kerapu, gerut-gerut dan sebagainya.
Pengunjung dari Marang, Terengganu, Firdaus Abdullah, berkata, kunjungan pertama kali ke Pantai Kerachut begitu mempersonakan selepas melihat keindahan semulajadinya.
"Saya mula mendaki bersama isteri, Sharifah Asma Syed Noh, dan tiga ahli keluarga lain dari pekan Teluk Bahang kira-kira jam 9 pagi dan tiba kira-kira sejam setengah dan sepanjang perjalanan begitu mempersonakan dengan pelbagai tumbuhan dan flora," katanya.
Pelajar Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Syed Anuar Syed Noh, berkata alam semulajadi yang terdapat di Taman Negara Pulau Pinang itu perlu dikekalkan bagi membolehkan generasi akan datang terus menghayatinya.
"Keindahan dan hampara Pantai Kerachut yang indah membuatkannya teruja dan mahu terus mengunjunginya bersama rakan dan keluarga," katanya.
FAKTA:
------
1928 Hutan Simpanan Kekal Pantai Acheh diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri
2,563 hektar Keluasan keseluruhan Taman Negara Pulau Pinang
190 spesis Fauna
1,000 spesis Flora
200 meter Laluan Canopy walk sebagai tarikan baru
IKLAN - ISILA Berkesan Merawat Sakit Lutut |
Suka dengan artikel ini? LIKE dan SHARE untuk manfaat bersama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan