Sabtu, 22 Oktober 2016

KUMPULAN BURUNG HIJRAH DI KUALA SUNGAI JELUTONG JADI TUMPUAN PEMINAT UNGGAS

Kawasan Kuala Sungai Jelutong, Georgetown, menjadi tumpuan pelbagai habitat kumpulan unggas yang singgah sekali gus menjadi tumpuan orang ramai

Georgetown: Walaupun terletak bersebelahan dengan tapak pelupusan sampah pepejal di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, kehadiran kumpulan burung hijrah ternyata mencuri tumpuan bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan termasuk pencinta burung untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai spesis unggas yang singgah di situ.

Kawasan paya bakau yang kini hanya tinggal sebahagian kecil sahaja berikutan projek tebus guna tanah yang dijalankan di sekitar kawasan terbabit  perlu terus dipertahankan bagi memastikan kehadiran burung berkenaan terus singgah di situ dalam tempoh jangka masa panjang.






IKLAN - ISILA terbaik buat lutut ibu anda





Kehadiran burung hijrah seperti bangau, kedidi, puchong dan beberapa spesis lain mencuri tumpuan orang ramai yang datang hampir setiap hari untuk melihat kelibat dan tabiat burung berkenaan.

Malah, pihak pemaju turut membina replika burung di laluan lebuh raya berkenaan dan secara tidak langsung mengiktiraf kawasan berkenaan sebagai salah satu tempat tumpuan yang boleh dimajukan sebagai lokasi eko-pelancongan baru di bahagian pulau negeri ini.

Ia turut diakui Pengerusi Persatuan Nelayan Jelutong, Badrul Hisham Hashim yang mahu kawasan paya bakau itu perlu terus dipelihara bagi memastikan pelbagai hidupan unggas berkunjung selain hidupan marin lain supaya tidak terus pupus ditelan arus pembangunan.




Replika burung di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown, dipasang sebagai menandakan kawasan Kuala Sungai Jelutong, Georgetown, diiktiraf sebagai kawasan tumpuan pelbagai habitat kumpulan burung hijrah



"Selain gembira dengan kehadiran kumpulan burung itu lebih 300 nelayan yang berdaftar dengan persatuan turut mengawasi tindakan segelintir individu yang datang untuk menangkap spesis unggas yang semakin pupus menggunakan pukat," katanya ketika ditemui di Persatuan Unit Nelayan Jelutong, Kuala Sungai Jelutong, di sini.

Beliau berkata, nelayan terbabit turut bertindak segera dengan membuang semua jerat dan pukat yang dipasang pihak tidak bertanggung jawab bagi memastikan kumpulan berkenaan terus singgah di situ tanpa sebarang ancaman.

Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa terbabit khususnya Jabatan Perhilitan negeri seharusnya menjalankan pemantauan bagi menghalang sebarang usaha untuk menangkap kumpulan spesis burung berkenaan.




Pengerusi Persatuan Nelayan Jelutong, Badrul Hisham Hashim



Kawasan Kuala Sungai Jelutong itu kini menjadi tumpuan pengunjung yang datang untuk merakamkan pemandangan indah khususnya melihat matahari terbenam selain hidupan burung hijrah yang datang mencari makanan di situ.

Ahli nelayan persatuan terbabit juga meminta supaya disediakan satu dana oleh pihak berkuasa terbabit bagi mengekalkan kawasan hijau yang masih tinggal itu selain menjalankan kerja-kerja penanaman semula pokok bakau dalam usaha untuk mengekalkan ekosistem sekitar kawasan perairan itu.

Sementara itu salah seorang pencinta burung dikenali sebagai Jamaluddin Ahmad Jaafar, 45 berkata, dia sering datang ke jeti pendaratan ikan di kawasan itu semata-mata untuk melihat beberapa spesis burung terutama bangau secara dekat.

"Keistimewaan hutan paya bakau di kawasan ini mempunyai kepelbagaian geologi dan masa sesuai untuk melihat kelibat burung hijrah itu adalah ketika air mula pasang kerana ketika itu air mula masuk ke sungai membawa sumber makanan," katanya.

Beliau berkata, hutan bakau kaya dengan sumber makanan merupakan habitat tanah lembap yang unggul untuk banyak spesies burung air jenis migrasi dan residen, terutamanya burung pesisiran pantai.






IKLAN - ISILA Berkesan Merawat Sakit Lutut





Suka dengan artikel ini? LIKE dan SHARE untuk manfaat bersama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan