Jumaat, 14 Oktober 2016

MUZIUM KOLONIAL PULAU PINANG JADI TARIKAN BARU PENGUNJUNG RASAI PENGALAMAN ERA KOLONIAL KETIKA ZAMAN PENJAJAHAN BRITISH

Muzium Kolonial Pulau Pinang di Jalan D S Ramanathan, Georgetown, mempamerkan lebih 1,000 artifak sejarah membolehkan pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman dan keunikan serta kemewahan ketika era pentadbiran British

Georgetown: Pelbagai peristiwa bersejarah dapat disaksikan di Muzium Kolonial Pulau Pinang yang dibuka kepada penduduk setempat dan pelancong asing dilihat mampu menjadi satu lagi produk pelancongan baru bagi membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat tinggalan sejarah merangkumi pelbagai seni dan budaya.

Muzium Kolonial Pulau Pinang itu mempamerkan lebih 1,000 artifak sejarah dan pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman dan keunikan serta kemewahan ketika era pentadbiran British.






IKLAN - ISILA terbaik buat lutut ibu anda





Bangunan banglo dua tingkat yang terletak di Jalan D S Ramanathan, di sini, menempatkan pelbagai peninggalan barangan antik itu mampu mengembalikan nostalgia pengunjung ketika era kolonial bermula abad ke 18 hingga abad ke-20.

Pertama kali melangkah masuk ke muzium berkenaan, pengunjung berpeluang melihat keindahan taman yang unik dengan sebuah rumah pokok, kereta kuda kayu yang menjadi tumpuan pengunjung untuk merakamkan gambar untuk kenangan.




Rumah atas pokok menghiasi halaman Muzium Kolonial Pulau Pinang



Pengarah Muzium Kolonial Pulau Pinang, Jasmine Tan berkata, antara artifak menarik yang dipamerkan termausk surat risalah oleh orang yang pertama menjejakkan kaki ke Pulau Pinang, Kapten Francis Light pada 28 Julai 1794 selain perabut buatan Perancis sekitar 1855 hingga 1946.

"Selain itu, kita juga menampilkan patung batu marmar oleh Atelier R Bigazzi Florence, lukisan terbalik oleh William Morris serta lukisan kaca berwarna yang menjadi tarikan pengunjung," katanya ketika ditemui, di sini.




Pengunjung berpeluang melihat lebih dekat patung kaca yang dipamerkan di Muzium Kolonial



Bahagian bawah bangunan muzium itu turut mempamerkan pelbagai barangan perabot lama termasuk koleksi Baba Nyonya (Peranakan) termasuk peti muzik, piano dan banyak lagi.

Ruangan atas pula menampilkan ruang rehat dengan lampu neon menarik selain koleksi peribadi tiga generasi Tan termasuk katil emas dan tempat mekap, koleksi patung marmar dan lukisan kaca.




Ruang rehat dengan lampu neon menarik turut dipamerkan di ruangan atas Muzium Kolonial Pulau Pinang



Tan berkata, pihaknya berharap muzium itu akan menjadi bahan pendidikan untuk meningkatkan kefahaman orang ramai khususnya pelajar dan menjadi satu daripada warisan kekayaan negara yang penting.

"Jadi tidak rugi jika datang berkunjung ke muzium ini untuk melihat pelbagai koleksi sejarah ini yang mampu menjadi alat penting dan berimaginasi sebuah negara kolonial zaman itu," katanya.




Katil emas yang menjadi koleksi peribadi tiga generasi keluarga Jasmine Tan turut dipamerkan di ruangan atas Muzium Kolonial



Muzium itu dibuka kepada orang ramai mulai jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari dan kadar harga dikenakan ialah RM30 untuk dewasa, RM15 (kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun). Bagi pemegang Mykad pula harga dikurangkan kepada RM20 dan RM12 untuk kanak-kanak.

Salah seorang pengunjung dari Australia, Mick Daniel, 35, berkata Pulau Pinang yang sudah terkenal sebagai sebuah destinasi terunggul di dunia 
mempunyai pelbagai gabungan menarik alam semula jadi, budaya dan sejarah yang harus dikenali dengan lebih dekat.




Lampu neon menarik turut dipamerkan di ruangan atas Muzium Kolonial Pulau Pinang



"Muzium ini sememangnya cantik dan amat sesuai untuk setiap orang dan pastinya tidak rugi datang melawat ke sini dengan kadar harga berpatutan," katanya.




Lukisan kaca berwarna menghiasi dinding di Muzium Kolonial Pulau Pinang

Pengunjung merakamkan kenangan berlatarbelakangkan koleksi artifak ketika mengunjungi Muzium Kolonial Pulau Pinang

Antara koleksi patung dan perabot yang turut dipamerkan di ruangan atas Muzium Kolonial Pulau Pinang





IKLAN - ISILA Berkesan Merawat Sakit Lutut





Suka dengan artikel ini? LIKE dan SHARE untuk manfaat bersama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan