Selasa, 11 Oktober 2016

KARIPAP MURAH RM2 BAGI TUJUH BIJI KARIPAP JADI PILIHAN RAMAI DI JALAN SUNGAI PINANG, BALIK PULAU

Peniaga, Norfadilah Saidin, 45 menunjukkan karipap yang dijual pada harga murah RM2 bagi tujuh biji karipap di gerai yang diusahakannya berhampiran tapak Pasar Malam Jalan Sungai Pinang, Balik Pulau

Balik Pulau: Hampir semua negara di dunia kini merasai kesan daripada harga makanan yang meningkat secara mendadak serta kedudukan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Keadaan ini menyebabkan ramai di kalangan rakyat lebih berhati-hati dalam mengeluarkan perbelanjaan khususnya untuk membeli makanan yang harganya masih kekal di paras terendah.







IKLAN - ISILA terbaik buat lutut ibu anda





Menyedari keperluan itu, seorang peniaga memberanikan diri dengan menjual karipap pada kadar harga serendah 30 sen setiap satu berbanding harga pasaran kini iaitu 50 sen setiap satu.

Norfadilah Saidin, 45 kini menjual karipap pada harga murah RM2 dan pelanggan akan diberikan tujuh biji keripap sekali gus mendapat sambutan di luar dugaan di gerai yang diusahakannya berhampiran tapak Pasar Malam Jalan Sungai Pinang, di sini.

"Walaupun harga barangan semakin meningkat, namun saya mahu mengekalkan harga serendah mungkin bagi membolehkan pelanggan membelinya untuk dinikmati bersama keluarga, rakan atau majlis keramaian," katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berkata, karipap pusing hasil air tangannya dianggap istimewa kerana rangup, apatah lagi apabila dia selalunya akan melebihkan inti dalam kuih yang disediakan itu.




Karipap yang rangup dan isi menyelerakan serta harga murah menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkannya berhampiran tapak Pasar Malam Jalan Sungai Pinang, Balik Pulau



"Rasa ubi keledek merah yang manis bergaul dengan rempah yang pedas membuatkan karipap berasa sedap dan tidak jemu dimakan pada bila-bila masa khususnya sebagai juadah minum petang," katanya.

Beliau berkata, karipap adalah makanan ringan yang menjadi pilihan utama masyarakat negara ini dan sudah menjadi budaya untuk menyediakan karipap untuk dijadikan hidangan santapan pagi, petang, malam dan bila-bila masa.

Katanya, dia menggunakan kira-kira lima kilogram (kg) tepung untuk menghasilkan antara 500 biji karipap sehari bermula jam 5 petang hingga 7 malam, malah jualannya habis dijual dalam tempoh dua jam.





Peniaga, Norfadilah Saidin, 45 (kiri) sedang menjual karipap kepada pelanggan berhampiran tapak Pasar Malam Jalan Sungai Pinang, Balik Pulau



Katanya, dia belajar membuat karipap daripada ibunya yang menunjuk cara membuat karipap pusing dan secara beransur-ansur, akhirnya kemahiran dapat dikuasai sepenuhnya.

"Saya terpaksa mengelim karipap menggunakan alat khas bagi menjimatkan masa dan sehingga kini alhamdulillah belum ada pelanggan yang datang mengadu mengenai karipap yang saja jual," katanya.

Selain jualan secara terus, Norfadilah juga menerima tempahan untuk majlis kenduri atau keraian membabitkan kuantiti yang banyak bermula 500 hingga 2,000 biji karipap mengikut majlis yang dianjurkan.






IKLAN - ISILA Berkesan Merawat Sakit Lutut





Suka dengan artikel ini? LIKE dan SHARE untuk manfaat bersama 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan