Selasa, 18 Oktober 2016

BEKAS GURU KINI BERGELAR USAHAWAN AYAM PIRU TERKENAL DI PULAU PINANG

Farizal Hamidon, 46 (kanan) sedang memasukkan ayam piru ke dalam reban di ladang Teroka Jaya di Mukim E, Titi Teras, Balik Pulau

Balik Pulau: Hasrat untuk melakukan perubahan dan mencuba sesuatu yang baru ternyata memberikan pulangan yang lumayan kepada seorang bekas guru yang kini bergelar usahawan ayam piru atau ayam belanda di Mukim E, Titi Teras, di sini.

Ini kerana produk bekalan ayam piru atau nama saintifiknya,  Meleagris Gallopavo kini semakin mendapat permintaan tinggi di kalangan pengusaha hotel di negeri ini ketika menyambut beberapa perayaan berbanding sebelum ini mereka terpaksa mengimport produk makanan itu dari luar negara khususnya dari Australia.







IKLAN - ISILA terbaik buat lutut ibu anda





Farizal Hamidon, 46 atau lebih dikenali sebagai panggilan cikgu Farizal dan gelaran ustaz di kalangan penduduk setempat tidak mudah patah semangat untuk mencuba sesuatu yang baru dari bidang pendidikan dengan membuka ladang ternakan ayam piru Teroka Jaya di kawasan seluas enam ekar pada 2012.

Walaupun memulakan bidang penternakan pada Mei 2011 dengan modal RM150,000 dengan jumlah ayam piru yang kecil tetapi kini bilangannya sudah mencecah lebih 2,000 ekor dengan dibantu rakan perniagaannya, Amirul Hifzan Anor.




Farizal bersama rakannya sedang memeriksa reban ayam piru



Perniagaan penternakan ayam piru yang diusahakannya itu kini semakin menjadi pilihan pelanggan kerana produk makanan itu kurang kolestrol selain mempunyai pelbagai khasiat lain.

"Alhamdulillah perniagaan ini adalah menguntungkan dan saya bersyukur kerana tindakan positif yang diambil membuahkan hasil memberansangkan sekali gus mendapat respons yang baik daripada pelanggan yang sentiasa mahukan bekalan ayam piru yang segar," katanya ketika ditemui di ladang Teroka Jaya di Titi Teras, di sini.




Farizal sedang memasukkan telur ayam piru ke dalam inkubator untuk proses dieram



Beliau berkata, berkat usahanya itu dia turut menyandang gelaran johan kategori penternak unggas pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri 2013 dan tempat kedua pada pertandingan penternak unggas (ayam piru dan daging) pada tahun sama.

Katanya, harga ayam piru segar dijual pada harga serendah RM25 hingga RM35 sekilogram mengikut berat berbanding harga ayam piru import dari luar negara.




Farizal bersama rakannya sedang memeriksa anak ayam piru



"Tempoh matang ayam piru mengambil masa antara enam hingga tujuh bulan sebelum boleh disembelih dan harganya agak tinggi sedikit berbanding produk ayam lain kerana penjagaannya memerlukan penelitian yang rapi," katanya.

Beliau berkata, industri ayam piru secara komersil khususnya di negeri ini semakin memberansangkan mendorong Farizal menjalankan beberapa kursus kepada usahawan baru untuk berkongsi pengalaman dan percaya prospek produk itu akan terus memberikan peluang cerah.




Farizal sedang menunjukkan cara penyembelihan ayam piru



"Melihat sambutan hebat yang diterima, kita kini sudah memulakan langkah bukan sahaja dalam penternakan ayam piru termasuk benih, baka dan daging segar serta latihan kepada usahawan,

"Kita juga membekalkan benih rumput Napier yang diimport dari Taiwan yang menjadi makanan utama ayam piru merangkumi 70 peratus berbanding makanan lain selain dedak," katanya.




Farizal sedang menunjukkan cara penjagaan ayam piru



Beliau berkata, usahawan itu merancang untuk terus meningkatkan produk hilirannya dengan perancangan membuka Taman Agro-Pelancongan dan mempromosikan Taman Ayam Belanda, tahun depan.

Katanya, bagi tujuan itu, pihak pengurusan sudah menyediakan kira-kira lima ekar yang dilengkapi dengan pelbagai produk pertanian lain untuk kunjungan pelancong tempatan dan luar negara yang melawat negeri ini.




Farizal sedang menunjukkan cara penyembelihan ayam piru



"Kita yakin dengan potensi masa depan penternakan ini yang menunjukkan peluang cerah sekali gus dibantu Amalan Penternakan Baik (GAHP) merangkumi penggunaan mekanisasi ladang, permakanan baik serta bantuan asas yang perlu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu meningkatkan produk hiliran berasaskan ayam piru kepada usahawan seperti daging barbeque, satay, kebab dan sebagainya supaya produk makanan itu terus mendapat perhatian tinggi di kalangan orang ramai.





IKLAN - ISILA Berkesan Merawat Sakit Lutut




Suka dengan artikel ini? LIKE dan SHARE untuk manfaat bersama

1 ulasan: